Polis siasat insiden Mejar Zahir ditembak

Kenderaan yang membawa jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya keluar dari perkarangan Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth hari ini. - Foto Bernama
Kenderaan yang membawa jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya keluar dari perkarangan Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Polis sedang menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden tertembak ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, di sini pagi tadi sehingga menyebabkan kematian Mejar Mohd Zahir Armaya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, polis menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden berkenaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Pada jam lebih kurang 10.05 pagi, polis Penampang terima satu laporan bahawa seorang tentera telah tertembak rakannya sendiri semasa acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

“Siasatan awal mendapati, pada jam 8.25 pagi, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar meninggal dunia semasa melakukan acara berkenaan," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan 5 meter menggunakan senjata api semasa acara itu.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis akan merampas senjata dalam insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan," katanya.

Berikutan insiden berkenaan, Mohd Zahir yang juga seorang pegawai tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini (HQE).

Allahyarham adalah anak kepada pengarah dan pelakon AR Badul atau Armaya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth apabila ahli keluarga arwah tiba di hospital berkenaan sejak pagi tadi.

Turut berada di pekarangan hospital ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan beberapa anggota tentera.

Bapa saudara kepada Allahyarham, Ansari Abdullah berkata, beliau mendapat tahu mengenai perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh ibu Mohd Zahir, Rusunjan Mohamad pagi tadi. - Bernama