'Najib beri Jho Low mandat urus bailout hutang 1MDB, SRC'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pengetahuan dan telah memberikan mandat kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk merancang dan menguruskan usaha bagi menyelamatkan kerugian dan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata ekoran itu Najib telah bersetuju dengan sebuah nota maklumat daripada Jho Low di mana seseorang bernama 'Heng' akan dilantik menjadi sekretariat kepada tiga projek iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, 'Heng' yang dimaksudkan adalah bekas pengarah 1MDB dan sekutu Jho Low, Geh Chong Heng yang lebih dikenali sebagai Terence Geh yang merupakan pemain utama di Malaysia bagi memastikan perjanjian projek-projek itu ditandatangani.

"Bagaimanapun, Terence yang dikehendaki pihak berkuasa telah melarikan diri ke luar negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pegawai khas Najib akui tertekan

"Berdasarkan satu nota maklumat yang disediakan oleh Jho Low, Terence dinyatakan telah dipinjamkan daripada sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) untuk menjadi sekretariat bagi ketiga-tiga projek itu. Saya sendiri pernah merujuk nota maklumat yang dimaksudkan ini kepada Najib dan beliau juga bersetuju dengan kandungannya," kata saksi itu.

Beliau berkata, nota maklumat daripada Jho Low itu telah dipersetujui isi kandungannya oleh Najib dan perkara-perkara berkenaan hanya dibincangkan oleh mereka sahaja selain formatnya adalah konsisten dengan semua dokumen yang diterima daripada ahli perniagaan itu sebelum ini.

"Saya juga mengesahkan sebuah dokumen yang diberikan oleh Terence bertarikh 22 Sept 2016 yang mengandungi talking points bagi mesyuarat bersama lima orang wakil dari China terdiri daripada Pengerusi dan wakil State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC), Naib Pengerusi Import-Export Bank of China (China EXIM) dan wakil dari kedutaan China di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Saya bertindak sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri dan Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjadi pembuka bicara diplomatik bagi mesyuarat itu sementara Terence membantu saya memandangkan beliau lebih arif berhubung cadangan projek usahasama Malaysia-China,” katanya.

Beliau berkata, susulan mesyuarat yang dihadiri mereka (Amhari dan Terence) pada bulan September 2016, Najib kemudian telah membuat lawatan rasmi ke Beijing, China pada 1 atau 2 November 2016 dengan beberapa sasaran bagi mengatur langkah seterusnya dalam usahasama Malaysia-China ini.

Terdahulu semasa merujuk kepada dokumen bertajuk “Update On China-Malaysia Economic Programme: 18 July 2016” saksi itu berkata dokumen itu beliau terima daripada Jho Low melalui email atau diserahkan sendiri oleh Terrence Geh.

Katanya, dokumen itu adalah nota maklumat atau talking points bertarikh 18 Julai 2016 berkenaan kemaskini Program Ekonomi China-Malaysia.

“Pada dokumen ini dinyatakan hasil perbincangan secara terperinci berkenaan projek ECRL, TSGP, MPP dan isu-isu 1MDB. Saya tidak tahu siapa yang hadir dalam membincangkan perkara ini secara terperinci. Saya sendiri tidak hadir dalam perbincangan ini.

Berdasarkan dokumen ini, antara perkara yang dibincangkan adalah berhubung penjualan aset 1MDB seperti syer dalam My City Ventures Sdn Bhd, 1MDB Energy Holdings Limited dan Brazen Sky Limited.

Turut dinyatakan adalah berhubung kaedah pembayaran yang akan dibuat oleh syarikat berkaitan Kerajaan China kepada 1MDB,” katanya.

Turut dimasukkan ke dalam dokumen itu adalah jawapan kepada soalan-soalan lazim berkenaan dengan ECRL dan TSGP di mana tujuan dokumen itu disediakan adalah untuk menyelaras dan mengemaskini pengetahuan semua pihak yang terlibat agar proses menandatangani perjanjian projek ini berjaya.

Saksi itu berkata tujuan dokumen ini diterima olehnya adalah untuk pemakluman berkaitan status atau tindakan selanjutnya oleh mana-mana pihak yang berkenaan dengan projek TSGP, MPP dan ECRL kerana apabila beliau ditanya oleh Najib, beliau bersedia untuk memberikan maklumat itu kepada majikannya.

Saksi penting pertama pendakwaan itu berkata, Jho Low ada memintanya untuk melupuskan dokumen-dokumen yang dibincangkan itu supaya ia tidak tersebar kepada pihak luar namun beliau tidak melupuskan dokumen berkenaan.

“Saya sahkan bahawa saya sendiri tidak ada membuat apa-apa tindakan susulan selepas menerima dokumen ini dan hanya ambil maklum perkara ini.

"Tindakan ini telah diuruskan oleh Heng selaku sekretariat Malaysia-China Strategic High Impact Economic Committee (MCSHIEC).

"Tidak semua perkara yang dinyatakan di dalam dokumen ini terlaksana seperti yang dirancang. Pada kebiasaannya, jika ada perubahan, Jho Low akan membekalkan update baru kepada saya,” katanya.

Saksi itu menjelaskan dokumen itu berasal daripada Jho Low kerana berdasarkan isi kandungan dokumen itu ia adalah perkara yang hanya dibincangkan dengan Jho Low sahaja.

Merujuk kepada dokumen bertajuk “Important Action Items” saksi itu berkata dokumen itu beliau terima daripada Jho Low melalui email atau diserahkan sendiri oleh Terrence dan dokumen itu adalah nota maklumat untuk persediaan Najib sempena presentation berkenaan ECRL dan TSGP ke Economy Council (EC).

“Mesyuarat EC ini diadakan setiap minggu bagi membincangkan berkenaan cadangan berkaitan ekonomi yang panting. Pada dokumen ini dinyatakan berkenaan individu yang merupakan ahli EC yang mungkin menyokong atau mempersoalkan projek ECRL, TSGP dan MPP.

"Dokumen ini juga menyatakan perkara yang penting diketahui supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan cepat. Kandungan yang terdapat dalam nota maklumat ini adalah ditujukan kepada Datuk Seri Najib untuk beliau tahu kedudukan individu yang terlibat dengan mesyuarat ini.

"Sesalinan dokumen ini telah diserahkan kepada Datuk Seri Najib dan saya juga telah beritahu Heng apa-apa tindakan dalam dokumen ini perlu diuruskan sendiri oleh beliau. Saya tidak ada menghubungi mana-mana pihak untuk melaksanakan arahan sepertimana dalam dokumen ini,” katanya.

Amhari Efendi berkata, beliau tidak tahu sama ada Heng ada melaksanakan perkara itu atau tidak dan beliau juga ada memberitahu Heng supaya memastikan semua dokumen melalui proses yang betul dalam Kerajaan seperti mendapatkan persetujuan Kementerian-Kementerian, Jabatan Peguam Negara, kelulusan Kabinet dan lain-lain lagi.

Menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi yang mengenali Jho Low lebih dari lapan tahun itu berkata beliau membuat kesimpulan dan percaya bahawa Najib mengetahui dan memberikan mandat kepada Jho Low dalam urusan 1MDB.

"Ini adalah kerana setiap kali arahan diterima daripada Datuk Seri Najib, Jho Low akan terus membuat tindakan susulan kepada saya mengenai hal sama," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 9.30 pagi esok. - Bernama