Kes bunuh CEO Cradle Fund: 60 saksi akan dipanggil

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 60 saksi akan dipanggil pihak pendakwaan pada prosiding perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang dijangka bermula Jumaat ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dimaklumkan perkara itu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahida Wan Omar pada sebutan kes hari ini.

Pada prosiding itu, Wan Shahida memohon pertimbangan mahkamah agar perbicaraan ditangguhkan berikutan Ketua Pendakwaan, Datuk Salim Soib@Hamid mengalami masalah kesihatan dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman memerintahkan pihak pendakwaan berbincang agar prosiding perbicaraan diteruskan.

“Saya berasa dukacita (terhadap masalah kesihatan Salim) namun saya percaya tentu ada pegawai lain yang boleh mengendalikan kes ini," katanya.

Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan tersebut bermula semalam hingga 15 September dan 23 September hingga 4 Oktober depan.

Pada prosiding itu, Ab Karim turut meminta pihak pembelaan dan pendakwaan mencapai kata putus berhubung tarikh perbicaraan.

Ia berikutan peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan kes itu sedang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak dapat jangka bilakah kes 1MDB habis. Mahkamah pun mahu selesaikan kes ini.

"Hasrat saya mahu jalankan perbicaraan Jumaat ini. Saksi penting perlu didahulukan dan susun dengan lebih teratur supaya tiada penangguhan. Pihak peguam perlu bersedia,” katanya.

Pada prosiding hari ini, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar yang merupakan tertuduh pertama hadir bersama tertuduh ketiga, 14, manakala tertuduh kedua tidak hadir kerana menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes di sini antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.