Isu pungutan sampah fokus utama Dialog Bajet

A
A
A

SHAH ALAM - Isu berkaitan kebersihan di desa antara fokus utama dan menjadi agenda dalam Dialog Bajet 2020 yang berlangsung di Hotel Concorde di sini hari ini.

Fokus Dialog Bajet 2020 Smart Desa Selangor: Bersih dan Sejahtera ini diadakan untuk diperhalusi kerajaan negeri menjelang pembentangan Belanjawan Negeri 2020, November depan.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail berkata, beberapa perkara telah disepakati untuk dibawa ke peringkat kerajaan negeri untuk diteliti.

"Terdapat sembilan perkara yang dibangkitkan dan antaranya kebersihan di desa meliputi aspek kutipan sampah dan beberapa soal lain.

"Dari segi kutipan sampah, terdapat cadangan diutarakan supaya kerajaan Selangor melihat semula aspek pungutan semula sampah di kampung,

"Jika kutipan sebelum ini dibuat di tepi-tepi jalan, ada cadangan supaya ia diperluaskan di kampung dan di jalan besar supaya tidak ada kawasan kotor dan jadi tempat pembuangan sampah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas sesi dialog tersebut.

Artikel Berkaitan:

Program berkenaan turut dihadiri pimpinan desa di seluruh negeri ini.

Selain itu katanya, isu kitar semula dan keusahawanan sosial turut diketengahkan.

"Menerusi inisiatif itu, penduduk kampung tradisi akan dapat memperoleh sumber pendapatan, istilah Juru Kitar Semula melalui keusahawanan sosial merupakan satu ‘game changer’ dalam inovasi pengurusan sisa pepejal dan sampah.

“Ia merupakan salah satu usaha melestarikan alam sekitar, menjana sumber pendapatan kepada penduduk kampung dan solusi bagi mendepani permasalahan sosial setempat,” katanya.