Penutupan terminal feri jejas pendapatan peniaga, pemandu teksi

Terminal Feri Kukup lengang selepas operasinya dihentikan sementara sejak 1 September lepas. Gambar kecil: Junaidah
Terminal Feri Kukup lengang selepas operasinya dihentikan sementara sejak 1 September lepas. Gambar kecil: Junaidah
A
A
A

PONTIAN - Selepas tiga hari penutupan Terminal Feri Kukup di sini, peniaga di Pekan Kukup mengakui terjejas teruk berikutan ketiadaan pengunjung.

Peniaga, Junaidah Nohong, 43 berkata Pekan Kukup seolah-olah 'mati' selepas Terminal Feri Kukup dihentikan sementara operasinya sejak 1 September lalu.

Katanya, peniaga terutama penjual makanan seperti goreng pisang, kuih muih, sarapan pagi, kedai runcit dan cenderamata paling terjejas.

Junaidah yang berniaga minuman memberitahu jualan harian merosot sehingga dia sukar mendapatkan modal berniaga.

"Nak dapat jualan RM10 sehari susah sangat. Kalau dulu ada terminal feri ramai pelanggan.

"Kami peniaga kecil memang cukup tersepit dengan keadaan yang berlaku di Kukup. Tak mampu pula hendak pindah meniaga ke bandar Pontian sebab jauh," katanya.

Papan tanda operasi Terminal Feri Kukup dihentikan sementara.
Papan tanda operasi Terminal Feri Kukup dihentikan sementara.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan negeri mengambil langkah membuka semula operasi Terminal Feri Kukup dalam masa terdekat ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang bulan 9, dua bulan lagi musim cuti sekolah. Kalau terminal feri tidak dibuka lagi, memang peniaga di sini gulung tikar," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa, Mahmood Johari berkata 120 pemandu teksi terjejas dengan penutupan sementara operasi Terminal Feri Kukup.

Katanya, walaupun penutupan itu diuar-uarkan hanya sementara namun ia tetap memberi kesan kepada ekonomi Pekan Kukup yang bergantung dengan kehadiran pengunjung ke terminal terbabit yang berusia lebih 30 tahun itu.

"Kita harap penutupan sementara ini tidak berlarutan dalam tempoh jangka masa panjang. Kerajaan negeri perlu lantik syarikat pengendali baharu terminal feri secepat mungkin," katanya.