Prosedur pengeluaran SSLN perlu dilihat semula: Dzulkefly

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosedur bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Certificate (NOC) sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di luar negara mungkin perlu dilihat semula, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Jalan Pintas Bergelar Doktor’ yang mendakwa ada pelajar tidak memohon SSLN kerana tidak memenuhi syarat minimum, Dr Dzulkefly berkata, pengeluaran SSLN adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

Menurut laporan itu, ada kalangan pelajar perubatan Malaysia di universiti luar negara dikatakan menggunakan jalan pintas iaitu terus ke pusat pengajian tinggi berkenaan, tanpa SSLN disebabkan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Untuk layak mendapatkan SSLN, calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya gred B bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia dalam SPM.

Ditemui pemberita selepas majlis “Embracing Style in Breastfeeding #BreastfeedingFashionistas” di sini hari ini, Dr Dzulkefly berkata, tiada pihak boleh menghalang sesiapa yang tidak layak untuk mengikuti kursus perubatan di universiti awam dan swasta dalam negara, untuk belajar dalam jurusan sama di luar negara atas perbelanjaan sendiri.

“Jadi saya nasihatkan semua pihak berfikir dengan teliti sebelum mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti kursus perubatan di luar negara, selain menyemak status pengiktirafan institusi yang dipilih,“ katanya.

Dr Dzulkefly mengingatkan untuk berdaftar sebagai pegawai perubatan siswazah di bawah Kementerian Kesihatan, seorang lulusan perubatan perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Sekiranya mereka adalah lulusan dari universiti yang tidak diiktiraf, mereka terlebih dahulu perlu menduduki peperiksaan Kelayakan Pra-Pendaftaran yang juga dijalankan oleh Majlis Perubatan Malaysia sebelum layak didaftarkan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya pada majlis hari ini, Dr Dzulkefly berkata peratusan ibu di Malaysia yang menyusu bayi mereka secara eksklusif meningkat kepada 65.9 peratus pada 2018 berbanding hanya 14.5 peratus pada 2009.

"Peningkatan berkenaan menunjukkan wujud kesedaran dalam kalangan ibu bapa bahawa penyusuan ibu secara eksklusif selama enam bulan amat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan anak mereka," katanya. - Bernama