Kabinet lulus konsep e-hailing motosikal, bukan Gojek semata-mata

Anthony (kanan) melihat buku 'My Journey By Bus' selepas pelancaran buku tersebut, hari ini. - Foto BERNAMA
Anthony (kanan) melihat buku 'My Journey By Bus' selepas pelancaran buku tersebut, hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan kelulusan kabinet terhadap konsep perkhidmatan e-hailing motosikal diperkenalkan di negara ini tidak semata-mata bermaksud meluluskan khidmat Gojek, syarikat operator e-hailing motosikal dari Indonesia.

Justeru itu, menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata, apabila kerangka undang-undang mengenai perkhidmatan itu diluluskan Parlimen, mana-mana syarikat operator perkhidmatan itu boleh beroperasi di negara ini.

"Ramai yang keliru dengan isu ini, kabinet bukan beri kelulusan kepada Gojek, tapi memberi kelulusan konsep perkhidmatan e-hailing motosikal atau teksi motosikal.

"Kalau kita sudah benarkan (lulus di Parlimen) perkhidmatan itu, mana-mana syarikat yang nak beroperasi perlu ikut kerangka undang-undang yang kita sediakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pelancaran buku berjudul 'My Journey by Bus', di sini hari ini.

Anthony mengulas dakwaan mengapa jemaah menteri meluluskan Gojek, syarikat operator e-hailing motosikal dari Indonesia ke pasaran negara dan bukannya Dego Ride, syarikat tempatan yang diharamkan dari beroperasi sekitar tahun 2017.

Anthony berkata, Gojek hanya antara syarikat perkhidmatan e-hailing motosikal dan kementerian juga menggalakkan syarikat tempatan menceburi bidang itu selepas undang-undang berkaitan diluluskan.

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu di negara ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, selepas kerangka undang-undang itu siap, kementeriannya turut memerlukan tempoh percubaan untuk menguji sistem perkhidmatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga perlukan `trial period' untuk uji perkhidmatan itu. Nak tukar (pinda) undang-udang bukan mudah, kena pergi (bahas) di Parlimen kerana ada keperluan untuk pinda akta berkaitan termasuk Akta Pengangkutan Darat dan akta-akta lain," katanya. - Bernama