X

Kindly register in order to view this article
!

Wujud sistem sokongan perkasa jawi di peringkat JAIJ, MAIJ

Abdullah Husin
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor mencadangkan kerajaan negeri membuat persediaan dengan mewujudkan sistem sokongan bagi melancarkan penggunaan tulisan jawi di peringkat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, ia termasuklah memberi latihan dan menyediakan kaunter bantuan kepada orang ramai yang bakal berurusan dengan pihak terlibat.

"Sistem sokongan kepada kakitangan mereka seperti latihan dan juga menyediakan unit atau kaunter bantuan kepada masyarakat yang akan berurusan dengan JAIJ dan MAIJ di dalam tulisan jawi.

"Suatu jangka masa percubaan atau penilaian atau transisi juga perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanaan sepenuhnya bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berhubung penggunaan tulisan jawi dalam urusan rasmi oleh JAIJ dan MAIJ tahun depan, Pas Johor turut menyifatkannya tindakan terpuji dan keputusan tepat bagi memperkasa penggunaan dan penguasaan tulisan berkenaan dalam kalangan rakyat khususnya umat Islam.

"Negeri Johor sudah dikenali sebagai antara negeri yang mempunyai sistem persekolahan agama yang terbaik dan sepatutnya tiada timbul sebarang isu dan halangan bagi melaksanakan penggunaan tulisan jawi dengan lebih meluas.

"Contohnya huruf ‘jim’ yang akan diguna pakai di dalam logo Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang akan berlangsung di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, Pas Johor akan terus menyokong mana-mana pihak yang membuat tindakan dan keputusan yang memberi kebaikan untuk kepentingan agama, negeri dan negara serta meningkatkan keharmonian rakyat keseluruhannya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!