Sayang, pilih produk Malaysia dulu: Teresa Kok

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama, Teresa Kok sedih apabila ada pihak tertentu yang melakukan kempen boikot barang bukan Bumiputera yang melibatkan produk berasaskan kelapa sawit.

Jelas beliau, produk kelapa sawit dihasilkan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Semalam, saya ada sesi di Pagoh dan Batu Pahat, saya lihat ada semua bangsa dalam industri minyak sawit. Bila kita bercakap mengenai kelapa sawit, ia ada kaitan dengan hidup rakyat Malaysia.

"Produk ini tidak boleh dianggap produk Bumiputera, tetapi adalah produk Malaysia. Kita perlu guna dan sayang produk Malaysia, pilih produk Malaysia dulu.

"Ketika kita sambut Hari Kemerdekaan, ini adalah moto dan slogan yang kita galakkan kepada pengguna apabila membeli. Tolong jangan lihat Bumiputera atau bukan Bumiputera, tetapi ia dikeluarkan pekebun kecil yang meliputi pelbagai kaum," katanya memetik satu video yang disiarkan portal MalaysiaGazette, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kempen Membeli Produk Muslim anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) bukan berniat untuk memboikot produk bukan Muslim di Malaysia.

Selain membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam, kempen itu juga bertujuan memberi alternatif kepada masyarakat Islam.

Penganjur menjelaskan bahawa lambakan produk tidak halal dalam pasaran semakin membimbangkan dan berpendapat sudah tiba masa kempen berkenaan digerakkan bagi membendung masalah itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO nafi gerak kempen boikot produk bukan Muslim

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen beli produk Muslim bukan berniat boikot produk lain