Lanjut usia bersara bukan penyelesaian berkesan

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Melanjutkan usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun bukan satu penyelesaian kepada masalah yang membelenggu golongan pesara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana keputusan itu turut membabitkan pihak lain secara berangkai dalam sektor pekerjaan.

Menurutnya, golongan muda yang sedang membina kerjaya akan terkesan dengan perubahan itu dan ia bukan jalan penyelesaian yang berkesan.

“Secara peribadi, saya tak melihat ia keperluan. Saya tak fikir pemimpin kesatuan sekerja tidak melihat dari segi golongan muda termasuk anak-anak mereka mungkin menjadi mangsa jika dilanjutkan umur persaraan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Mahfuz berkata, sekiranya jawatan terhad untuk diisi golongan muda, mereka akan terlepas peluang membina kerjaya berdasarkan kelayakan sedia ada.

“Ia tak akan menyelesaikan masalah. Jika cadangan itu dianggap sebagai penyelesaian, kita tak dapat selesaikan masalah-masalah lain, jadi kita perlu lihat pada penyelesaian yang lebih meluas,” katanya.

Tambahnya, usia 60-an juga bukan isu kritikal kerana pada usia itu, kebanyakan sudah tiada tanggungan dan komitmen kehidupan berbanding dengan golongan muda.

“Saya fikir pekerja sektor awam dan swasta juga kurang bersetuju untuk bekerja sehingga 65 tahun. Bila usia lanjut, ramai berdepan masalah kesihatan dan produktiviti, tidak mampu beri sumbangan yang baik terutama apabila minat bekerja makin pudar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mahfuz bersetuju sekiranya usia persaraan dilanjutkan hanya untuk sektor pekerjaan yang kritikal.

“Saya setuju jika lanjutkan usia hanya untuk jawatan bagi sektor-sektor kritikal yang perlukan kemahiran dan kepakaran tinggi dalam bidang tertentu.

"Contohnya, graduan dalam bidang tertentu tidak cukup untuk mengisi kekosongan jawatan, namun perlu disemak dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, sebarang cadangan dikemukakan kesatuan sekerja akan diteliti, namun pada masa sama kerajaan harus fikirkan kaedah penyelesaian terbaik dan munasabah.

“Tidak semestinya cadangan itu diterima untuk bajet akan datang, ia perlukan masa untuk kajian menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam kenyataannya menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta dan ia tidak boleh ditangguhkan berikutan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

MTUC juga mencadangkan had umur persaraan harus dinaikkan berikutan gaji yang rendah menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan hingga perlu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.