Trump dakwa tidak pernah dengar ribut Kategori Lima

Dorian menyebabkan kemusnahan meluas termasuk kira-kira 13,000 kediaman musnah atau rosak teruk di seluruh Bahamas.
Dorian menyebabkan kemusnahan meluas termasuk kira-kira 13,000 kediaman musnah atau rosak teruk di seluruh Bahamas.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menunjukkan sisi kurang cerdik beliau sebagai seorang pemimpin selepas jutawan hartanah terbabit menyatakan tidak pasti pernah mendengar tentang hurikan Kategori Lima yang merujuk kepada Ribut Dorian.

"Kita tidak tahu apa yang bakal landa kita. Apa yang kita tahu ia adalah paling besar. Saya tidak pasti pernah dengar Kategori Lima. Saya tahu ia wujud dan saya pernah saksikan beberapa ribut Kategori Empat," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau sebelum Dorian yang merupakan ribut paling berbahaya dijangka membadai Kepulauan Abaco di Bahamas.

Taufan itu yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 290 kilometer sejam dilaporkan menyebabkan kemusnahan yang meluas termasuk kira-kira 13,000 kediaman musnah atau rosak teruk di seluruh Bahamas hari ini.

Dorian yang merupakan ribut kedua paling kuat dalam sejarah dijangka menuju ke pantai timur AS dan sebagai langkah berjaga-jaga ribuan penduduk diarah berpindah.

Sebelum ini, Trump juga pernah menyatakan perkara sama tentang hurikan Kategori Lima malah beberapa hari sebelum Ribut Irma dan Maria melanda negara itu, beliau memaklumkan tidak pernah tahu tentang kewujudannya.

Pada Oktober 2017, beliau mendakwa tiada orang pernah dengar tentang ribut Kategori Lima melanda kawasan daratan dan pada awal tahun lalu, Trump sekali lagi berkata tidak pernah mendengar tentang hurikan dahsyat seperti itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: