Agong ziarah mangsa kebakaran di Tawau

Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan bersalaman dengan penduduk sebelum berangkat pulang selepas melawat dan bertemu mangsa kebakaran rumah di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan bersalaman dengan penduduk sebelum berangkat pulang selepas melawat dan bertemu mangsa kebakaran rumah di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dekat sini hari ini bagi memenuhi hasratnya untuk bersama rakyat yang ditimpa musibah.

Seri Paduka bertitah bahawa baginda terpanggil untuk menziarahi mangsa di kampung itu setelah mengetahui kejadian kebakaran berkenaan ketika berada di Jakarta, Indonesia.

"Apabila saya terbaca dan terlihat dalam berita mengenai kejadian kebakaran di sini (Kampung Otentik), hati saya memang sudah terpanggil agar saya mesti datang ke sini kerana saya hendak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

"Pada Hari Kebangsaan lepas, kebetulan ada satu kejadian kebakaran di sebuah perkampungan di Sungai Lembing, Pahang, tetapi saya sudah komited untuk ke Tawau dahulu dan kemudian saya akan berkunjung ke Pahang," titah baginda ketika menziarahi mangsa kebakaran kampung itu di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat dekat sini.

Seri Paduka juga melahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta jabatan dan agensi terlibat kerana menjayakan ziarah baginda ke kampung itu.

Baginda turut mengajak rakyat untuk memberi penghargaan kepada pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas pasukan berkenaan untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke lebih banyak rumah tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

"Saya menganggap kehadiran kita bersama di sini sebagai satu rahmat daripada ALLAH supaya kita ingat dan bersabar serta mempelajari musibah yang dilalui.

"Saya telah mendengar (taklimat kejadian oleh JBPM) dan memerhatikan kedudukan rumah di kampung ini yang dibina agak rapat dan boleh mendatangkan bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap kerajaan dapat mengkaji mengenai (rancangan) bina semula rumah untuk mangsa dan saya berdoa agar rumah dibina selamat diduduki," titah baginda lagi.

Pada lawatan Seri Paduka, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 87 ketua isi rumah yang terjejas oleh kebakaran pada malam 26 Ogos lepas itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 60 rumah terbakar di Kampung Otentik

Baginda turut mendengar taklimat kejadian kebakaran itu oleh Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan meninjau tapak kejadian yang telah memusnahkan 69 rumah dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang. - Bernama