Agong ziarah makam Nabi Muhammad, raudhah

Agong dan Permaisuri berkenan membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. - Foto FB Istana Negara
Agong dan Permaisuri berkenan membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi makam junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah di Arab Saudi pada Rabu.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara pada Khamis, Seri Paduka turut berkenan menunaikan solat fardu maghrib dan isyak serta solat sunat di pekarangan makam Nabi Muhammad SAW.

Menurut Istana Negara, selesai solat isyak, Seri Paduka disertai Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"(Seri Paduka berdua)... berkenan membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dengan dipimpin oleh mutawif bagi tetamu negara Sheikh Mustafa Alarabi,” demikian menurut Istana Negara.

Menurut catatan itu, turut berangkat menziarah ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut sama mengiringi ialah paduka-paduka anakanda Seri Paduka.

"Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan menziarahi Raudhah dan menunaikan solat sunat di situ.

"Seri Paduka berdua dan delegasi dijadualkan berangkat ke Kota Suci Makkah esok (23 Jun) untuk menunaikan ibadah haji,” demikian menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah haji.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. - Bernama