X

Kindly register in order to view this article
!

Tak salah jumpa PM, asal tak jual nama, maruah, parti: Annuar

Annuar.Annuar Musa - FOTO ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Tidak menjadi kesalahan untuk sesiapa sahaja berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad asalkan tidak menggadaikan maruah serta parti politik yang disertai.

Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter miliknya memberitahu keterbukaan amat diperlukan dalam perkara tersebut.

"Saya rasa jumpa PM tak salah. Setahu saya ramai juga yang jumpa, jumpalah.

"Apa salahnya, asal jangan jual nama, jual orang, jual maruah atau jual parti...keterbukaan diperlukan," ciapnya semalam.

Annuar menegaskan, pemimpin tentu tahu apa yang harus dibuat, hanya yang cekal akan beristiqamah.

Ciapan Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu dipercayai merujuk kepada laporan berhubung bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini sedang disiasat lembaga disiplin UMNO dan turut dikaitkan dengan beberapa tindakan anggota Parlimen Sembrong itu yang dikatakan melanggar beberapa peraturan termasuk mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Sebelum ini, dalam ciapan berlainan, Annuar menegaskan Hishammuddin berjumpa dengan Dr Mahathir atas kapasiti peribadi.

"Rasanya tidak salah dan pengurusan UMNO tidak terima sebarang aduan. LD (lembaga disiplin) badan bebas. Kalau ada prima facie, MKT (majlis kepimpinan tertinggi) diberitahu. Setakat ini tak ada apa pun," katanya.