‘Atuk drebar bawa satu batalion askar itu’

Pada usia 88 tahun Baharun masih mampu mengingati tugasnya ketika membawa askar-askar dari Jalan Chow Kit ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.
Pada usia 88 tahun Baharun masih mampu mengingati tugasnya ketika membawa askar-askar dari Jalan Chow Kit ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.
A
A
A

MASJID TANAH – “Pada subuh tanggal 31 Ogos 1957, atuk (saya) bertugas sebagai pemandu trak yang bawa askar ke stadium sempena pengisytiharan Hari Merdeka,” luah seorang lelaki sambil merenung jauh ke depan.

Wajahnya berkedut akibat dimamah usia, tetapi senyumnya tetap manis memancarkan betapa dia bahagia ketika mengenang semula detik bersejarah itu apatah lagi sebagai bekas askar Melayu yang turut melibatkan diri dalam upacara gemilang negara.

Itulah perasaan Baharun Salleh yang kini berusia 88 tahun, namun masih mampu mengingati peranannya ketika membawa satu batalion askar dari Jalan Chow Kit ke Stadium Merdeka di Kuala Lumpur pada hari itu.

“Pada jam 5.30 pagi 31 Ogos 1957, atuk sudah bersiap-sedia dengan trak. Atuk masa itu jadi ‘drebar’ (pemandu) askar Melayu. Memang pagi itu tugas atuk sangat istimewa sebab atuk kena angkut askar ke Stadium Merdeka.

“Sebagai pemandu trak askar, biasanya atuk masuk ke kampung-kampung membawa askar, meronda keliling pekan ataupun menghantar bekalan ke ‘kawasan hitam’ tetapi dapat bertugas sempena upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu menjadi kenangan terindah,” katanya yang mesra membahasakan dirinya sebagai atuk.Baharun diwawancara wartawan Sinar Harian di rumahnya di Lubok China, Melaka baru-baru ini.

Hanya buku perkhidmatan dalam askar Melayu dan British sahaja tinggal dalam simpanan Baharun namun kenangan menjadi askar terpahat kukuh dalam sanubarinya.
Hanya buku perkhidmatan dalam askar Melayu dan British sahaja tinggal dalam simpanan Baharun namun kenangan menjadi askar terpahat kukuh dalam sanubarinya.

Baharun juga menceritakan perasaannya yang tidak tergambar dek kata-kata sewaktu mendengar laungan merdeka oleh Perdana Menteri Tanah Persekutuan Melayu pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

“Bulu roma atuk naik mendengar suara Tunku sebanyak tiga kali melaungkan merdeka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Baharun, selain bertugas sebagai pemandu pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, dia pernah menjalankan tugas yang sama ketika rusuhan Natrah pada tahun 1950 iaitu mengangkut askar dalam kem Pekan Singapura.