Rosol tak tunduk desakan letak jawatan

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid enggan melayan sebarang desakan meletak jawatan susulan tindakan beliau mengumumkan keluar Umno berkuat kuasa 14 Disember lalu.

Menurutnya, beliau masih berkhidmat seperti biasa untuk rakyat malah desakan supaya beliau memberi laluan kepada PRK tidak akan mengubah situasi politik di situ.

“Orang kalah lebih baik duduk diam. Saya di Hulu Terengganu tiada masalah dengan rakyat malah tindakan saya (keluar Umno) disambut baik kerana ia adalah untuk membela rakyat.

“Saya juga masih berkhidmat seperti biasa, turun padang untuk meninjau masalah rakyat. Lagipun saya yakin kemenangan saya pada PRU14 lalu adalah atas dasar peribadi selain sedikit faktor disumbangkan oleh parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pusaka Terengganu kali ke-17 di Dewan Muzium Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol turut berkongsi antara sebab beliau membuat keputusan keluar parti yang mana dilihat lebih memberi impak yang baik kepada rakyat.

"Sebagai Ahli Parlimen pembangkang, sukar bagi saya untuk bantu dan suarakan permasalahan rakyat di peringkat pusat.

“Di Terengganu pula Pas yang memerintah. Jadi, penyertaan saya ke dalam Bersatu nanti akan memberi lebih banyak kebaikan kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada telah menyerahkan borang keahlian Bersatu, katanya, beliau telah menyerahkan borang Bersatu melalui peringkat Pusat.

Selain Rosol, lima lagi Ahli Parlimen Umno mengumumkan keluar parti iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).