X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Warga Nepal maut kereta bertembung

Keadaan kereta yang remuk akibat bertembung dalam kemalangan jalan raya di Taman Setia Eco, awal pagi tadi. (Kanan: Kenderaan dipandu mangsa. - Foto Polis)
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pengawal keselamatan warga Nepal disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Taman Setia Eco, awal pagi tadi.

Mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, identiti mangsa masih belum diketahui dan siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menghala ke Taman Setia Eco hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Volkswagen dari arah Taman Setia Eco menghala ke Gelang Patah.

"Akibat kemalangan itu, mangsa telah tersepit dan disahkan maut di lokasi setelah diperiksa oleh pihak ambulans," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pemandu Volkswagen merupakan seorang wanita berusia 32 tahun yang tersepit telah berjaya dikeluarkan pihak bomba.

Pemandu wanita terbabit mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Lokasi kejadian merupakan kawasan jalan bandaran yang memiliki dua lorong dua hala dan ketika kejadian, keadaan jalan rata, kering, bertar serta berlampu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!