Polis buru empat penyamun

No Image Caption
A
A
A

SETIU - Empat lelaki diburu polis selepas menyamun pasangan suami isteri warga Myanmar di sebuah ladang di Kampung Rhu Tapai, Merang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, suspek melarikan wang tunai, pasport dan telefon bimbit milik lelaki berusia 40 tahun dan pasangannya dalam kejadian kira-kira 8.30 malan itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika pasangan itu berada di rumah apabila didatangi empat suspek, manakala seorang daripada mereka mengaku sebagai polis.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian diikat dengan dawai besi dengan muka ditutup menggunakan baju sambil diawasi suspek.

"Suspek bertindak menggeledah rumah mangsa lalu mengambil wang tunai, dua pasport dan telefon bimbit.

"Selain itu, suspek cuba juga memasuki bangunan sarang burung layang-layang yang terletak bersambung dengan rumah mangsa tetapi tidak sempat berbuat demikian dan melarikan diri apabila mendengar bunyi traktor dipandu rakan mangsa berhenti di hadapan rumah itu," katanya.

Zulkifli berkata, semua suspek melarikan diri menggunakan dua buah motosikal dan kedua-dua mangsa yang cedera di tangan akibat diikat dengan dawai besi mendapat rawatan di Hospital Setiu.

Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.