Sepakat jaga keamanan, keharmonian: Mustapa

Mustapa (membonceng motosikal di sebelah kanan) bersama Ahmad (penunggang) dan Ilmie (tiga dari kanan) sebelum memulakan konvoi Jeli Merdeka Ride 2019 sempena Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Jeli di sini hari ini.
Mustapa (membonceng motosikal di sebelah kanan) bersama Ahmad (penunggang) dan Ilmie (tiga dari kanan) sebelum memulakan konvoi Jeli Merdeka Ride 2019 sempena Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Jeli di sini hari ini.
A
A
A

JELI - Masyarakat pelbagai latar belakang di daerah ini diingatkan agar sentiasa sepakat dalam menjaga keamanan dan keharmonian yang sedang dinikmati walaupun mungkin berbeza fahaman politik.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, segala usaha ke arah kebaikan akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya semua pihak saling sepakat sebagaimana ditunjukkan dalam proses menjayakan sambutan kemerdekaan negara ke-62 hari ini.

"Kita bangga dan gembira melihat kesepakatan semua pihak dalam menyuntik semangat kemerdekaan dan cintakan negara melalui konvoi ini.

"Anak muda harus bersemangat untuk majukan diri dalam pendidikan dan apa jua bidang diceburi, baiki akhlak dan agama, selain sepakat melakukan amal jariah serta sentiasa bersama dalam hal melibatkan masyarakat," katanya ketika berucap selepas menamatkan konvoi Jeli Merdeka Ride 2019 sempena Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Jeli di sini hari ini.

Menurutnya, jika kesepakatan itu berjaya dipraktikkan dengan baik Malaysia mampu jadi negara hebat untuk generasi akan datang.

"Kita ada potensi dan bijak pandai yang boleh menjadikan Malaysia negara hebat jika semua berjaya mencapai kesepakatan, dan kita harap semangat yang ditunjukkan hari ini diteruskan tidak hanya terhenti di sini," katanya.

Tambahnya, anak muda perlu mempunyai semangat untuk mengekalkan perpaduan yang sudah dikecapi ketika ini dan memastikan ia sentiasa terjaga demi membangunkan sebuah negara yang berjaya.

Difahamkan lebih 400 penunggang dan pembonceng motosikal menyertai konvoi berkenaan yang diketuai Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Armada Jeli, Ilmie Sapiei berkata, konvoi bermula dari Pejabat Penerangan Daerah Jeli melintasi beberapa perkampungan termasuk Ayer Lanas, Legeh dan Jedok sebelum berakhir di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli di Bukit Bunga itu melibatkan kira- kira 35 kilometer.

Menurutnya, konvoi itu diadakan bertujuan menyemai rasa cinta dan sayangkan perpaduan dalam masa sama memupuk semangat setiakawan serta bekerjasama antara satu sama lain termasuk dengan barisan kepimpinan.