5,000 mayat ditemukan dalam kubur tidak bertanda di Mexico

Ahli forensik menyiasat penemuan kubur rahsia di Lembah Juarez, Mexico pada Jun tahun lalu. - Foto AFP
Ahli forensik menyiasat penemuan kubur rahsia di Lembah Juarez, Mexico pada Jun tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

MEXICO CITY - Hampir 5,000 mayat ditemukan dalam lebih 3,000 kubur tidak bertanda sejak Mexico mengerahkan tentera memerangi pengedaran dadah pada tahun 2006, kata kerajaan dalam laporan lengkap berhubung pembunuhan beramai-ramai itu semalam.

Mexico dilanda gelombang keganasan sejak melancarkan perang dadah dan aktivis serta ahli keluarga 40,000 orang yang hilang mengecam kewujudan kubur seumpama itu selama bertahun-tahun.

Laporan tersebut merupakan kali pertama pihak berkuasa menjalankan survei seluruh negara bagi menentukan jumlah kubur tidak bertanda dan berapa ramai mangsa yang ditanam di dalamnya.

Survei mendapati terdapat 3,024 kubur tidak bertanda di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya 4,974 mayat.

"Ini kali pertama kerajaan persekutuan mengiktiraf jumlah kubur tidak bertanda.

"Namun ini bukan berkaitan angka, ini berkaitan orang yang hilang dan keluarga yang mencari mereka," kata Karla Quintana, ketua suruhanjaya pencarian negara untuk orang yang hilang dalam sidang akhbar bersama Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada Hari Antarabangsa Orang Hilang.

Timbalan Menteri Hak Asasi Manusia, Alejandro Encinas berkata, pihak berkuasa percaya kebanyakan mangsa dibunuh geng penjenayah yang adakalanya bekerjasama dengan pegawai tempatan yang dirasuah.

Sementara itu, keluarga orang yang hilang melakukan protes di luar istana presiden di mana sidang media diadakan dan mendesak kerajaan untuk menggiatkan usaha mencari sanak-saudara mereka.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Lopez Obrador berikrar untuk menghentikan keganasan dan meningkatkan usaha mencari orang hilang termasuk mengecam identiti 26,000 mayat tidak dikenal pasti yang memenuhi rumah mayat di seluruh negara. - AFP