Polis rungkai kes bunuh suami isteri

Baharudin menunjukkan antara barangan yang dirampas.
Baharudin menunjukkan antara barangan yang dirampas.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis berjaya merungkai kes pembunuhan melibatkan pasangan suami isteri yang ditemui dalam beg pakaian di dua lokasi berlainan di sini dengan tertangkapnya dua suspek warga asing di Kota Kemuning dan USJ 11, Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan soal siasat suspek mengaku membunuh mangsa dan suami mangsa semasa berada di Kondominium Main Place Subang pada tengah malam 24 Ogos lalu.

"Hasil soal siasat, pihak polis berjaya menemukan mayat seorang lelaki yang juga suami mangsa di dalam sebuah beg pakaian yang dibuang di dalam longkang berhampiran MRT Alam Megah, Putra Bestari Subang Jaya.

"Antara rampasan barang kes yang berjaya ditemui adalah pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa, motosikal yang digunakan suspek untuk membuang mayat mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam di sini.

Mengulas lanjut katanya, kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa di Kondominum Main Place Subang pada tengah malam 24 Ogos lalu.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa dan suspek tinggal bersama lebih setahun. Mangsa menyewakan bilik kepada suspek dengan harga RM900 sebulan. Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beg berisi pakaian mengandungi mayat seorang lelaki ditemui di longkang berhampiran Stesen LRT Alam Megah, jam 5 petang semalam.
Beg berisi pakaian mengandungi mayat seorang lelaki ditemui di longkang berhampiran Stesen LRT Alam Megah, jam 5 petang semalam.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu 26 Ogos lalu, mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan disumbat dalam beg pakaian sebelum dicampak ke dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita dalam beg pakaian

Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemui seorang pekerja juruteknik syarikat telekomunikasi kira-kira jam 5.30 pagi semasa menjalankan kerja pemeriksaan kabel.

Polis kemudiannya menemukan pula mayat seorang lelaki yang juga diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Tan Siew Mee, 52 serta suaminya Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79.

Mayat Siew Mee ditemui pada Isnin lalu di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, manakala mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, jam 5 petang semalam.

Difahamkan, jarak antara kedua-dua bagasi berisi mangsa ditemukan adalah kira-kira 3km.