Perompak panik diacu senapang ketika cuba samun barang kemas

Anggota forensik menjalankan siasatan di kedai emas terbabit.
Anggota forensik menjalankan siasatan di kedai emas terbabit.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas di sebuah premis di Jalan Lapangan Terbang, Medan Gopeng di sini hari ini gagal selepas panik sebaik menyedari seorang pengawal keselamatan mengacukan senapang ke arah mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, dua suspek melepaskan empat das tembakan ke arah dinding bagi menakutkan dua pekerja wanita dan pemilik premis berkenaan.

Bagaimanapun, suspek tidak menyedari bahawa terdapat seorang pengawal keselamatan yang sudah sedia mengacu senapang ke arah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pengawal keselamatan berusia 40-an itu hanya mengacu senjata tanpa melepaskan tembakan.

Menurutnya, pihaknya percaya terdapat lebih dua suspek terlibat dalam kejadian itu dan mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi berwarna hitam ke arah Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.

Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan kereta suspek yang ditemui dengan kesan bakar di bahagian dalam di Taman Seri Rapat semalam.
Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan kereta suspek yang ditemui dengan kesan bakar di bahagian dalam di Taman Seri Rapat semalam.

“Ketika menjalankan siasatan, kita menerima maklumat baru penemuan kereta suspek di Jalan Harilela, Taman Seri Rapat yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati bahagian dalam kenderaan itu sengaja dibakar dipercayai untuk menghapuskan bukti. Pihak bomba dipanggil untuk memadam kebakaran tersebut,” katanya di sini.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu dilaporkan hilang di Kuang, Selangor April lalu.

“Saksi melihat suspek melarikan diri di kawasan perumahan berhampiran. Orang ramai atau saksi kejadian boleh salurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi bantu siasatan.

“Kita akan kenal pasti serta mengesan kumpulan penjenayah itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika samun,” katanya.