Pas Wilayah Persekutuan anjur Ceramah Penyatuan Ummah

Khairul Anuar
Khairul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas Wilayah Persekutuan akan mengadakan Ceramah Penyatuan Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan melalui Jelajah Pra Himpunan Penyatuan Ummah 914 (HPU914) yang dijadualkan berlangsung Isnin depan di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri.

Ceramah yang dijadualkan pada jam 9 malam itu bakal menampilkan panel dari dua parti gergasi tanah air, Pas dan UMNO, iaitu Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan, Khairul Anuar Abdul Manap melalui kenyataan berkata, program yang julung kali diadakan ini merupakan pra-Himpunan Penyatuan Ummah sebelum perhimpunan gergasi yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September nanti.

Menurutnya, Jelajah Ceramah Himpunan Penyatuan Ummah sebagai usaha awal untuk mempromosikan HPU914, mewujudkan momentum hingga ke peringkat akar umbi untuk ke HPU914, mencetuskan kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan usaha penyatuan ummah dan mengukir lipatan sejarah negara iaitu dua parti tunjang orang Melayu Islam bersatu selepas 62 tahun negara merdeka.

Selain itu katanya, program jelajah ini adalah bertujuan mewujudkan kesinambungan gerakan massa ke arah satu tahap kesedaran politik era baharu dengan memartabatkan Islam sebagai teras, menyelaraskan gerakan UMNO dan Pas Wilayah Persekutuan ke arah penyatuan ummah melalui gerakan politik serta menghasilkan kerjasama dan ikatan silaturahim antara penyokong kedua-dua parti.

“Oleh itu, saf kepimpinan Pas Wilayah Persekutuan amat berbesar hati mengundang saudara dan saudari seisi keluarga untuk hadir ke program Jelajah Ceramah Penyatuan Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan: