Malaysia #QuranHour: Perak rekod hotspot tertinggi

Sebahagian peserta Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah II.
Sebahagian peserta Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah II.
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan jumlah lokasi tumpuan tertinggi pada penganjuran Malaysia #QuranHour yang berlangsung serentak, hari ini dengan 1,606 'hotspot'.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu yang melibatkan 700 hotspot di seluruh negeri.

Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, peningkatan itu adalah hasil sokongan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang menjadi penganjur bersama tahun ini.

"Selain daripada rumah-rumah ngaji, program sama turut diadakan secara serentak di 623 masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat yang ada di negeri ini.

"Ini satu pencapaian positif buat Rumah Ngaji Perak selepas termeterainya kerjasama antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Di Perak, Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali Masjid Negeri dipilih sebagai lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour dengan penyertaan lebih 1,500 orang.

Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, lebih istimewa kali ini apabila pihaknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri yang membenarkan program berkenaan diadakan di 974 sekolah termasuk 149 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 46 SJK Tamil.

Katanya, ruang itu bertepatan dengan usaha digerakkan rumah ngaji untuk mengajak generasi muda mencintai al-Quran.

Artikel Berkaitan:

"Semestinya kita mengharapkan lebih ramai anak-anak muda dapat berinteraksi dengan al Quran kerana itu kita mahu pastikan baik pelajar sekolah rendah, menengah termasuklah tahfiz ada bersama kita dalam program ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusof Mohd Husin berkata, #QuranHour membawa perkembangan baik kepada Perak dalam membudayakan bacaan al-Quran.