Anwar ingatkan Zuraida hadir mesyuarat parti

Anwar - Foto Sinar Harian
Anwar - Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin untuk hadir mesyuarat parti yang diadakan secara mingguan dan bulanan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Zuraida yang mendedahkan bahawa tiga pucuk surat telah dihantar kepada Anwar untuk membolehkannya dan beberapa pemimpin lain bertemu tetapi permintaan itu tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.

“Tentang surat, biar Setiausaha Agung jawab. Kita terima satu (surat) dan dah jawab.

“Kita ada forum iaitu mesyuarat biro politik setiap minggu dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) setiap bulan. Sila hadir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa, permintaan mereka yang tidak dilayan Anwar merupakan antara punca beliau dan beberapa pimpinan lain tidak menghadiri mesyuarat parti.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, PKR setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ahlinya yang menyuarakan pandangan berbeza daripada parti.

“Apa-apa pandangan kita kena nilai dan teliti. Dalam PKR kita beri ruang lebih demokratik untuk beri pandangan. Belum ada tindakan (diambil),” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli partinya yang didakwa membuat pengumuman yang merosakkan imej parti.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Tindakan disiplin ahli rosakkan imej parti: Tun M

Permintaan tidak dilayan punca tak hadir mesyuarat: Zuraida