Jakim cadang Malaysia #QuranHour sebagai aktiviti sambutan merdeka

Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - Foto Sinar Harian Asril Aswandi
Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - Foto Sinar Harian Asril Aswandi
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang memasukkan program Malaysia #QuranHour sebagai aktiviti sampingan dalam acara sambutan kemerdekaan negara setiap tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Nordin Ibrahim berkata, ini kerana program yang penuh manfaat itu sememangnya sangat dekat di hati umat Islam di negara ini.

"Tahun depan, kita minta program ini diteruskan sebagai acara tahunan dengan menjadikannya salah satu program sampingan dalam acara kemerdekaan.

"Lokasinya mungkin kita akan buat di masjid-masjid berlainan selaras dengan usaha kita (Jakim) untuk menyantuni masyarakat yang pelbagai di negara ini," katanya pada sidang media sebaik selesai program Malaysia #QuranHour 2019 di Masjid Putra di sini hari ini.

Mengulas lanjut kolaborasi pertama Jakim bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dalam penganjuran Malaysia #QuranHour edisi kelima itu, Mohammad Nordin mengakui sangat berpuas hati.

"Jakim memberikan sokongan penuh kepada program ini dengan memilih Masjid Putra yang menyaksikan penyertaan ramai yang ikut serta bertadarus dan bertadabbur," katanya.

Beliau turut mengakui sangat tertarik dengan konsep bertadabbur yang diperkenalkan pada program berkenaan kerana ia menjelaskan makna ayat secara lebih terperinci dan mendalam.

"Kita dapat hurai satu-satu ayat al-Quran itu dengan lebih fokus dan pastinya akan menusuk hati mereka yang sertainya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia turut memberikan pengalaman kepada semua peserta yang hadir untuk faham dan hayati serta amalkan ajaran al-Quran," katanya.