Fitnah, pembohongan cabaran terbesar kerajaan: Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - DAP menyifatkan cabaran terbesar kerajaan hari ini untuk mentadbir negara adalah berhadapan dengan fitnah dan pembohongan yang menyentuh sentimen perkauman dan ekstremisme agama.

Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng berkata, keadaan itu telah menjejaskan kepercayaan rakyat yang cenderung untuk mempercayai fitnah dan pembohongan berbanding kebenaran dan fakta.

"Bagi membina perpaduan nasional, kita harus membina keyakinan dan mengembalikan kepercayaan ke dalam sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat, yang mahu membina sebuah masa hadapan yang lebih baik demi anak-anak kita.

"Rakyat tidak akan menerima sebarang keuntungan dengan mengikut jejak mereka yang menyebarkan perpecahan nasional melalui sentimen perkauman dan ekstremisme agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, negara juga bakal berhadapan dengan kerugian besar sekiranya gagal memberikan tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan ekonomi rakyat.

"Sebab inilah sesi konsultasi Belanjawan 2020 yang sedang berlangsung mengutamakan kemakmuran bersama dan ekonomi berkeusahawanan yang akan membantu rakyat Malaysia menetapkan semula kepercayaan bahawa kita hanya mampu menjadi kuat apabila kita bersama," katanya.

Justeru, beliau mengajak semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan rasa kasih sayang kepada negara dan menghargai jasa mereka yang telah berkorban demi kemerdekaan kita dengan menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita hanya perlu melakukan sebuah ikrar mudah untuk mengangkat perpaduan nasional berbanding perpecahan, kepelbagaian berbanding penguasaan, kebenaran berbanding fitnah, kebebasan politik berbanding penindasan, kedaulatan undang-undang berbanding arahan peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Kesetaraan peluang berbanding monopoli, pentadbiran bersih berbanding amalan rasuah, kemakmuran bersama berbanding kapitalisme kroni, dan perlindungan alam sekitar berbanding pencemaran.

"Marilah kita menyambut Hari Kemerdekaan kita dengan memperbaharui kepercayaan kita antara satu sama lain, bahawa hanya apabila kita bersatu, kita tidak akan gagal," katanya.