Apa yang kita boleh buat kalau ada RM1 bilion?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

APABILA kita menyebut angka satu bilion, mungkin ada di antara kita tidak mengetahui berapa banyak 0 di belakang satunya. Kepada yang tahu diucapkan tahniah, kepada yang tidak tahu, satu bilion mempunyai sembilan 0 atau 1,000,000,000!

Merak Jalanan terfikir, oleh kerana hari ini kita sering mendengar perkataan bilion, apakah yang kita boleh buat dengan jumlah RM1 bilion ini? Mari kita berimaginasi.

Sebagai permulaan, jika Merak Jalanan mempunyai RM1 bilion dan mengeluarkan RM100 setiap hari, Merak Jalanan memerlukan tempoh 27,397 tahun baru habis!

Jika Merak Jalanan hidup pada zaman Piramid dibina kira-kira 5,000 tahun lalu, Merak Jalanan baru mengeluarkan RM182.5 juta atau 18.25 peratus hingga hari ini. Tidak sampai suku pun!

Baiklah, jika Merak Jalanan mahu menyumbang kepada masyarakat dengan membina sekolah yang katalah bernilai RM10 juta setiap satu, dengan RM1 bilion Merak Jalanan boleh bina 100 sekolah. Dengan 100 sekolah ini, berapa puluh ribu pula murid mendapat manfaatnya.

Bagaimana pula jika Merak Jalanan mahu menghabiskan RM1 bilion dalam masa setahun, apa yang boleh dibeli? Merak Jalanan boleh sahaja beli pulau di negara Caribbean contohnya di Bahamas dengan harga RM250 juta. Bina sebuah istana agam di atasnya dengan nilai RM200 juta dan beli sebuah jet peribadi seperti Gulfstream dengan harga RM320 juta. Masih ada baki RM230 juta. Masih boleh labur dan ‘rolling’.

Bagaimana pula dengan makanan paling mahal di dunia? Tahun ini, dilaporkan durian paling mahal dijual adalah berharga RM202,000 sebiji di Thailand. Dengan jumlah ini, Merak Jalanan boleh beli 4,950 biji durian. Merak Jalanan boleh panggil satu kampung turun, boleh juga panggil kampung sebelah dan dua tiga kampung lagi!

Begitulah besarnya angka satu bilion. Jika anda mempunyai RM1 bilion, boleh dikatakan anda mampu membeli apa sahaja di dunia ini. Anda boleh beli kereta paling mahal di dunia, melancong ke seluruh dunia, boleh bayar mana-mana selebriti untuk menghiburkan anda dan berasa dunia anda yang punya.

Artikel Berkaitan:

Cuma satu sahaja kita tidak boleh beli walaupun mempunyai duit berbilion-bilion ringgit iaitu hidup kekal abadi. Tidak kiralah sesiapapun, ajal tetap menjelma.

Apa yang pasti, perjalanan Merak Jalanan untuk sampai ke angka RM1 bilion sudah kabur. Merak Jalanan hanya mampu berangan!