'Pakailah batik asli Malaysia'

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Pengusaha Batik Negeri Terengganu menyokong kempen Jom Pakai Batik yang digerakkan Sinar Harian dalam usaha meningkatkan warisan negara dalam kalangan masyarakat hari ini.

Setiausahanya, Abu Bakar Abdullah berkata, selain dapat mengekalkan warisan, budaya dan khazanah negara, kempen tersebut juga dilihat mampu melonjakkan industri pembuatan batik asli Malaysia khususnya di Terengganu.

Bagaimanapun katanya, beliau bimbang jika kempen itu hanya memberi keuntungan kepada peniaga batik luar negara seperti Indonesia dan Thailand yang kebanyakannya menggunakan nama ‘Terengganu’ sedangkan ia diimport.

“Kita boleh buat kempen, saya setuju tapi kita tidak mahu batik tiruan yang naik (popular) sebab dia guna nama Terengganu. Hakikatnya batik ini dibuat guna mesin bukan tangan lepas itu dijual dengan harga lebih kurang batik asli.

“Contohnya yang asli dijual antara RM28 hingga RM35 sehelai bergantung berapa lapis. Tiruan pula dijual RM25 sehelai sedangkan pembeli sebenarnya boleh dapat dengan harga RM12 sehelai. Jadi penjual dapat untung lebih dengan guna nama Terengganu, rosak nama usahawan,” katanya.

Menurutnya, masalah sama berlaku terhadap kain pasang yang turut dijual dengan harga RM55 sepasang menggunakan nama batik Terengganu padahal ia bukan batik asli cantingan tangan keluaran negeri ini yang biasa bernilai ratusan ringgit bergantung kepada kualiti.

Sehubungan itu, Abu Bakar berharap kempen memakai batik dapat digerakkan bersama dengan kempen membeli batik asli keluaran Malaysia yang kebanyakannya popular di Terengganu dan Kelantan kerana jauh lebih bermutu serta berkualiti.

“Jualan batik sekarang ok cuma ia banyak didominasi oleh penjual batik tiruan yang lebih mendapat sambutan. Apatah lagi mereka guna nama Terengganu, jadi saya rasa perkara ini patut diuar-uarkan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga berharap perkara ini mendapat perhatian pihak berkenaan,” katanya yang pernah memenangi pertandingan reka corak dan reka fesyen anjuran kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada tahun 2006.