KPM tambah guru kaunseling

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

NILAI - Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menambah bilangan guru kaunseling dengan menyasarkan nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching.

Beliau berkata ketika ini KPM merekodkan seramai 9,445 guru kaunseling sedia ada dengan 5,780 daripadanya adalah guru di sekolah menengah dan baki di sekolah rendah dengan nisbah ketika ini ialah seorang guru kaunseling bagi 350 murid di sekolah rendah manakala sekolah menengah 1:500 pelajar.

“Ia masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah pelajar yang ramai. Ketika ini kementerian sedang jalankan kajian terperinci mengenai isu ini dan diharap ia dapat mencapai nisbah seorang kaunseling kepada 250 murid dan pelajar.

"Usaha ini perlu mendapat persetujuan daripada pelbagai agensi lain kerana membabitkan isu bajet dan kakitangan awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Guru Bimbingan dan Kaunseling (India) Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Nie Ching dalam ucapannya berkata kementerian sedar akan keperluan untuk menambah guru kaunseling dan memberi perhatian serius mengenai perkara tersebut demi manfaat lebih lima juta murid dan pelajar di seluruh negara.

Beliau berkata pelbagai insiden yang dihadapi murid dan pelajar sekolah ketika ini termasuk masalah pencemaran kimia, kes bunuh diri dan kemurungan yang memerlukan pihak kementerian berusaha lebih keras bagi menanganinya termasuk dengan memperkasa guru kaunseling.

"Insiden sedemikian membuka mata masyarakat tentang kepentingan perkhidmatan kaunseling dalam menjalankan intervensi krisis kepada mangsa dan keluarga. Oleh itu wajarlah kaunselor dari semasa ke semasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran baharu," katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang berusaha memperbaiki sistem sokongan sedia ada dan antara usaha yang dijalankan ketika ini termasuk menjalankan saringan muda sihat membabitkan 20 peratus murid di setiap sekolah menengah di samping berterusan mempromosikan program minda sihat di kalangan murid dan pelajar. - Bernama

Artikel Berkaitan: