Mara panggil pengetua, guru kaunseling tangani isu buli

Asyraf Wajdi - Foto Bernama
Asyraf Wajdi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan memanggil beberapa pihak dalam masa terdekat bagi menangani isu buli di peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk pengetua dan guru kaunseling.

Beliau mendedahkan turut menerima aduan pada Selasa daripada ibu bapa dan pelajar yang menjadi mangsa buli di salah sebuah MRSM.

"Dalam masa terdekat saya akan memanggil semua pihak yang terlibat, pengetua, guru kaunseling, warden dan pihak-pihak terlibat di peringkat pusat untuk memastikan isu ditangani secara holistik dan menyeluruh," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook pada Selasa.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa beliau tidak lagi boleh menerima alasan remeh sebab berlakunya aktiviti membuli.

Tegas beliau, alasan seperti menyifatkan buli sebagai satu perkara biasa kehidupan di asrama dan tidak membenarkan mangsa buli melaporkan kepada ibu bapa juga perlu dihentikan.

“Budaya ‘jibam’ atau boikot kepada pelajar yang buat laporan juga adalah satu bentuk kesalahan dan tidak boleh dibiarkan menjadi amalan.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan buli sebagai penyakit yang tidak boleh dipandang enteng yang berlaku dari segi fizikal dan emosi.

“Kedua-duanya adalah penyakit serius yang perlu diubati dan dikekang kerana ia mampu memudaratkan perkembangan minda, fizikal dan psikologi anak-anak,” katanya.