Remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama seorang rakannya di sungai belakang Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian membabitkan mangsa, Muhammad Shukri Amri Kadir itu pada jam 2.42 petang tadi.

Beliau berkata seramai 14 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan tiga daripadanya merupakan anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

"Mangsa dipercayai mandi bersama rakannya dan lemas walaupun cuba diselamatkan rakannya.

"Rakan mangsa terus menghubungi pihak bomba bagi mencari dan menyelamat. Unit PPDA dari BBP Jitra bersama sebuah bot penyelamat dari BBP Alor Setar telah diarahkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata ketika mangsa dan rakannya mandi di sungai berkenaan, keadaan cuaca hujan renyai. - Bernama

Artikel Berkaitan: