RM5 juta atasi masalah gangguan air di Pasir Gudang

Jimmy ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Jimmy ketika sidang akhbar di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Dua projek jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan segera bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di Taman Flora Heights, Bandar Seri Alam.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata pihaknya telah mencapai kata sepakat selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Ranhill SAJ, Isnin lalu.

"Untuk jangka masa pendek, projek 'online pumping' akan dibuat dari Tangki Servis Masai. Projek ini melibatkan kos yang tinggi. Sistem perpaipan sementara akan dipasang sepanjang 300 meter manakala tender untuk projek itu akan dibuka awal bulan September dan dijangka selesai akhir tahun ini.

"Untuk jangka masa panjang pula, pemasangan paip baharu sepanjang 2.5 kilometer dengan kos RM5 juta bermula tahun depan akan mengubah punca bekalan air ke Tangki Seri Alam F memandangkan tangki tersebut mempunyai paras yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini, hari ini.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan air di Taman Flora Heights berpunca daripada keadaan cuaca yang panas selain kedudukan geografi kawasan itu yang tinggi.

Jimmy (dua, kanan) dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung (kanan) sempat mendengar masalah penduduk di Taman Flora Heights, hari ini.
Jimmy (dua, kanan) dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung (kanan) sempat mendengar masalah penduduk di Taman Flora Heights, hari ini.

"Saya difahamkan masalah utama di Flora Heights ini kerana peningkatan penggunaan air memandangkan keadaan cuaca yang panas dan pada masa yang sama jumlah taburan hujan kurang maka sumber air kita juga mendapat tekanan.

"Ini menyebabkan Tangki Penimbang Masai tidak stabil dan menurun yang turut menjadi punca gangguan bekalan air di Flora Heights.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga kena faham kedudukan geografi kawasan ini agak tinggi jadi apabila tidak seimbang dan paras air menurun, maka ia tidak dapat menyalurkan air ke kawasan ini," katanya.

Jimmy sempat menasihatkan penduduk di Taman Flora Heights bersabar dan berjimat cermat dalam penggunaan air.

"Saya minta penduduk bersabar dan menggunakan air secara berhemah," katanya.

Katanya, Loji Rawatan Air Layang 2 yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi akan menyelesaikan masalah bekalan air.