Raja Ahmad Alauddin meninggal dunia dalam tidur

Raja Ahmad Alauddin. Foto Instagram
Raja Ahmad Alauddin. Foto Instagram
A
A
A

PENGARAH Raja Ahmad Alauddin, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Memetik laporan Mstar, Pengurus Produksi Syarikat Pena Creative Pictures, Mohd Syahidan Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, Allahyarham dipercayai meninggal dunia dalam kamar tidur di rumahnya.

Kata Mohd Syahidan, dia mula berasa sesuatu yang tidak kena selepas cubaannya untuk menghubungi arwah tidak berjaya.

"Seperti biasa saya akan menjemput dia untuk ke set penggambaran pada jam 6 pagi setiap hari.

"Apabila saya call arwah dari jam 6 pagi tetapi tidak berangkat, ketuk pintu rumah pun tiada respons... saya rasa tak sedap hati, jadi saya buat keputusan untuk buat laporan polis.

"Dengan bantuan polis dan bomba, kami masuk ke rumahnya dan lihat arwah hanya terbaring di atas katil. Dia meninggal dalam tidur," katanya.

Dalam pada itu, Syahidan berkata, dia menyedari kelakuan Allahyarham mula berubah apabila dia banyak mendiamkan diri ketika set penggambaran drama slot Lestari, Pesan Pada Hati.

"Saya kenal arwah hampir 16 tahun, dia memang seorang yang sangat menepati masa. Dia tidak pernah gagal untuk bangun pagi.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang 20 hari, pukul 5.30 pagi kami mula shooting. Tapi tiba-tiba hari ini dia diam sampai pukul 8 pagi tiada berita. saya rasa pelik, sebab itu buat keputusan buat laporan polis. Sekarang saya tunggu waris.

"Arwah seorang yang happy go lucky tapi semalam dia banyak diam, duduk seorang diri dan termenung," katanya.

Antara drama popular arahnya adalah Curi-curi Cinta, Ariana Rose, Aurora Aisyah, Demi Cinta Ain dan Hanya Di Atas Kertas.

Beliau juga pernah mengarah beberapa filem termasuk Hati Bukan Kristal, Kayangan dan Lurah Dendam.

Sepanjang kariernya dalam bidang pengarahan, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.