TFC II, UKM FC sahkan tiket ke separuh akhir Piala Cabaran

Pemain UKM Fc Mateo Roskam (kanan) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur Noh Haeng Seok pada perlawanan Challenge Cup 2019 di Stadium Kuala Lumpur malam ini.- Foto BERNAMA
Pemain UKM Fc Mateo Roskam (kanan) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur Noh Haeng Seok pada perlawanan Challenge Cup 2019 di Stadium Kuala Lumpur malam ini.- Foto BERNAMA
A
A
A

JUARA bertahan, Terengganu FC II (TFC II) dan UKM FC mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran 2019 setelah mengatasi lawan masing-masing dalam aksi Kumpulan B malam ini.

Kedua-dua pasukan berkongsi 10 mata selepas empat perlawanan, namun UKM FC kekal di tangga teratas Kumpulan B menerusi perbezaan jaringan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, UKM FC berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1, sekali gus ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut diraih pasukan Liga Premier itu yang sebelum ini mengatasi pasukan sama dengan keputusan 3-0 di venue yang sama, minggu lalu.

Pada aksi malam ini, Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Noh Haeng-seok yang menanduk masuk sepakan percuma rakan sepasukan pada minit ke-36, sebelum UKM FC berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi tolakan mudah Milad Zeneyedpour.

UKM FC mengesahkan tiga mata hasil percubaan menarik daripada luar kotak penalti oleh pemain tengah, Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman pada minit ke-72.

Di KUALA TERENGGANU, TFC II turut merekodkan kemenangan ketiga setelah mengatasi pasukan tercorot, Selangor United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada aksi berkenaan, Akanni Sunday Wasiu meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-75 setelah beliau menolak masuk bola berpunca daripada hantaran silang Dechi Marcel.

Bruno Suzuki meledak gol kedua untuk pasukan TFC II menerusi satu rembatan deras pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, sekali gus menghadiah tiket separuh akhir kepada pasukan berkenaan. -Bernama

Artikel Berkaitan: