Isu bendera terbalik bukan perkara remeh

Mohd Fakaaruddin
Mohd Fakaaruddin
A
A
A

MACHANG - Pemuda UMNO Machang melahirkan rasa kesal berhubung kenyataan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan yang menyifatkan isu memasang bendera terbalik adalah perkara kecil dan kesilapan teknikal.

Ketuanya, Mohd Fakaaruddin Datuk Ismail berkata, isu pemasangan bendera terbalik bukanlah isu remeh yang boleh dipandang ringan dan diperkecilkan begitu sahaja.

Menurutnya, sebagai pegawai kerajaan sepatutnya lebih peka dengan isu tersebut dan mendidik rakyat menghormati bendera dengan cara yang betul.

"Kenyataan pegawai kerajaan yang menyifatkan isu bendera terbalik sebagai perkara kecil itu juga secara tidak langsung akan mendorong lebih banyak kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.

"Pihak berkuasa perlu memantau dan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang didapati mengibar bendera terbalik di premis mereka.

"Rakyat harus peka dan sedar bahawa pemasangan bendera ini bukti menunjukkan rasa cinta dan bangga kita kepada negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan JPNIN Kelantan menggesa masyarakat di negara ini supaya tidak memperbesarkan isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik.

Pengarahnya, Norwahidah Zinalibdin berkata, isu pemasangan bendera terbalik itu sengaja diperbesarkan bagi menyuntik rasa kurang senang rakyat di negara ini untuk mengeruhkan keadaan.

Artikel Berkaitan: