Sindiket seludup petrol, diesel bersubsidi tumpas

Mohamad Amri (kiri) memeriksa tong drum berisi minyak petrol dalam serbuan di Kampung Melayu di sini hari ini.
A
A

PADANG BESAR - Sejumlah 2,225 liter petrol dan 90 liter diesel bersubsidi bernilai RM4,886.60 yang cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis di dua buah lokasi di Kampung Melayu di sini pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 6.40 pagi itu turut merampas tiga buah kenderaan iaitu dua buah Proton Saga dan sebuah Proton Waja yang mempunyai tangki tambahan berisi minyak petrol yang keseluruhannya bernilai RM20,000.

Menurutnya, seorang wanita tempatan berusia awal 50-an dan wanita warga asing berusia 30-an turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Amir berkata, pihaknya mendapati kedua-dua sindiket ini menggunakan modus operandi yang sama di mana pemilik stor warga tempatan akan mengutip barang kawalan secara berulang kali di stesen minyak berhampiran dan dikumpulkan di stor berkenaan.

"Setelah selesai aktiviti mengumpul minyak ini, pihak pembeli akan membuat pembelian di stor-stor terbabit.

"KPDNHEP akan menjalankan siasatan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan individu boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi (kesalahan pertama).

"Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak lebih RM3juta atau penjara lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia