'Hantar borang isytihar harta kepada SPRM, bukan Speaker DUN'

Saarani (kiri) menunjukkan contoh borang pengisytiharan harta yang diberikan kepada ADUN-ADUN untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada SPRM.
Saarani (kiri) menunjukkan contoh borang pengisytiharan harta yang diberikan kepada ADUN-ADUN untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada SPRM.
A
A
A

IPOH - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang di Perak akan menghantar borang pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara serentak.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun mereka kekal dengan keputusan untuk tidak menyerahkan salinan borang pengisytiharan harta tersebut kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun usul telah diluluskan dalam Sidang DUN sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mendapatkan maklumat daripada pihak SPRM bahawa mereka menerima apa juga kaedah untuk menghantar borang tersebut.

"Kita dah tanya SPRM mereka kata tak payah (hantar kepada Speaker). Kita sendiri boleh hantar ke SPRM Perak atau terus ke Putrajaya.

"Insya-ALLAH kita akan hantar (borang pengisytiharan harta) secara beramai-ramai serentak pada satu hari yang akan diumumkan. Nothing to hide," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Pada 23 Julai lalu, Perak mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama meluluskan usul mewajibkan semua ADUN untuk mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.

Saarani berkata, usul mewajibkan ADUN-ADUN di Perak dibuat secara tergesa-gesa kerana semata-mata mahu menjadikan Perak sebagai negeri pertama berbuat demikian.

Katanya, selain mewajibkan pengisytiharan harta, semua ADUN juga perlu mengisytiharkan liabiliti lain seperti hutang dan pelbagai lagi liabiti bagi memastikan ia dibuat secara telus.

Artikel Berkaitan:

"Pengisytiharan harta ini hanya mempamerkan nilai harta semasa ADUN-ADUN, tidak dipamer pula berapa liabiliti atau hutang yang ditanggung oleh ADUN berkenaan. Contohnya kita beli rumah RM500,000 sudah tentu dibayar secara ansuran bermakna kita masih berhutang dan hutang itu tidak dipamerkan.

"Ini tidak adil kepada ADUN-ADUN yang mengisytiharkan harta kerana kita dipaksa mendedahkan harta semasa tetapi tidak dimaklumkan berapa tanggungan hutang kita. Jadi masyarakat akan melihat banyaknya harta kita padahal kita tanggung hutang," katanya.

Beliau berkata, jika benar kerajaan mahu pengisytiharan harta dibuat secara telus, isytiharkan juga jumlah dan nilai liabiliti yang ditanggung wakil rakyat berkenaan.

Saarani berkata, SPRM difahamkan tidak dapat berbuat apa-apa berhubung perkara itu memandangkan ia telah diputuskan oleh Kabinet mengenai apa yang perlu dipamerkan kepada umum.

ARTIKEL BERKAITAN Perak wajibkan ADUN isytihar harta