Perak wajibkan ADUN isytihar harta

Nga Kor Ming
A
A

IPOH - Perak menjadi negeri pertama mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.

Usul itu yang dibawa oleh ADUN Pasir Berdamar, V Raja Terrance Naidu pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 diluluskan selepas mendapat sokongan ramai, hari ini.

ADUN Aulong, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu walaupun pada asalnya cuba digagalkan oleh pihak pembangkang namun ia satu hadiah kepada negara terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2019 tidak lama lagi.

"Ini satu komitmen kerajaan negeri untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa DUN ini amat komited dalam memerangi rasuah," katanya pada sidang media di luar persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Kor Ming, setiap ADUN diberi tempoh tiga bulan atau sehingga 23 Oktober untuk mengisytiharkan harta mereka dan keluarga terdekat dengan cara mengisi borang yang kemudian diserahkan kepada Speaker DUN untuk dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Katanya, mana-mana ADUN yang gagal berbuat demikian boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

"Mereka yang gagal boleh digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan hingga setahun, bergantung kepada jawatankuasa," katanya.

Pada 1 Julai, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk mengisytiharkan harta, dan semalam usul sama diluluskan di Dewan Negara. - Bernama