[VIDEO] Gojek: Ambil kira faktor keselamatan

Dr Law Teik Hua pada program SinarLive: Gojek Malaysia Ok Ke Tak?. - Foto ROSLI TALIB
Dr Law Teik Hua pada program SinarLive: Gojek Malaysia Ok Ke Tak?. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Faktor keselamatan perlu diberi perhatian dalam cadangan kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek di negara ini.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, selain membuka peluang pekerjaan serta menambah pendapatan, isu keselamatan dan nyawa penunggang serta pembonceng motosikal perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, faktor keselamatan penting berikutan kadar kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini adalah tinggi setiap tahun.

“60 peratus daripada 7,000 kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal dan angka tersebut dijangka meningkat jika Gojek dilaksanakan.

“Pada saat kita berusaha mencari jalan mengurangkan kematian penunggang motosikal, Gojek ini pula sudah tentu memancing ramai minat anak muda dan sesiapa sahaja untuk menunggang.

“Mereka yang tidak ada motosikal pun akan beli motosikal, ia secara tidak langsung meningkatkan risiko keselamatan dan nyawa,” katanya pada program Sinar Live bertajuk Gojek Malaysia Ok ke Tak? hari ini.

Beliau turut membandingkan situasi di Thailand dan Indonesia yang sudah lama melaksanakan Gojek serta menyifatkan kedua-dua negara itu berbeza dengan Malaysia apabila pengangkutan utamanya memang menggunakan motosikal berdasarkan keadaan trafik dan kos sara hidup yang rendah.

“Keadaan jalan raya serta faktor sosial ekonomi Malaysia tidak sama dengan negara terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bila motosikal bertambah di atas jalan raya, risiko kemalangan juga akan bertambah.

“Saya faham kerajaan hendak menyediakan peluang pekerjaan, tapi saya fikir perkhidmatan ini bukan satu kaedah yang terbaik.

“Kerajaan sewajarnya kena ada tambah nilai pengangkutan awam selain menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam itu.

"Jika Gojek dilaksanakan, kita macam menentang polisi pengangkutan awam, kita sudah melabur berbilion-bilion untuk MRT, jadi perlu promosi kemudahan pengangkutan awam ini,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan perlu membuat kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan perkhidmatan Gojek di negara ini.

“Banyak perkara perlu difikirkan dari segi implikasi buruk dan baiknya perkhidmatan itu sebelum ia dilaksanakan di negara ini," katanya.;