Selesai segera kelewatan bayaran pengusaha bas sekolah

Ramli Mohd Nor
Ramli Mohd Nor
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu mengambil serius isu kelewatan bayaran pengusaha pengangkutan bas sekolah bagi masyarakat orang asli di Malaysia yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa).

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendakwa, ini kerana kegagalan pembayaran tersebut mengakibatkan pengusaha bas hendak memberhentikan perkhidmatan serta-merta.

"Setelah menerima aduan berkaitan isu pembayaran, saya sangat memandang serius dan mempersoal pihak kerajaan mengapa perkara sebegini boleh terjadi dan meminta kerajaan untuk memberikan penjelasan serta menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

"Kontraktor yang purata ramai terdiri daripada pengusaha orang asli tidak menerima bayaran sehingga lima bulan menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menjalankan perkhidmatan kerana kekurangan modal untuk menampung kos kenderaan yang digunakan bagi menghantar pelajar-pelajar masyarakat orang asli ke sekolah.

"Kemungkinan perkhidmatan ini diberhentikan berpunca dari kegagalan pihak Jakoa dan Jabatan Perdana Menteri tidak membuat bayaran upah bagi mengangkut anak-anak orang asli ke sekolah di kawasan Cameron Highlands dan seluruh negara akan menyebabkan anak-anak orang asli gagal ke sekolah," katanya menerusi kenyataan media.

Beliau mendakwa, hal ini juga akan menjadi salah satu sebab penyumbang kepada peningkatan kadar keciciran anak-anak orang asli setiap tahun.

Ramli berkata, kerajaan tidak boleh mengambil mudah berkaitan isu ini dan perlu memastikan pengusaha pengangkutan orang asli di Malaysia mendapat bayaran yang tepat pada masanya, setiap bulan.

"Isu ini perlu mendapat perhatian dari pihak kerajaan terutamanya daripada Jakoa dan Jabatan Perdana Menteri. Perkara ini tidak pernah berlaku semasa pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Artikel Berkaitan:

"Ketua Pengarah Jakoa sepatutnya fokus menumpukan usaha dan daya untuk melaksanakan dasar-dasar bagi memajukan masyarakat orang asli Semenanjung bukan sekadar retorik teori pembangunan orang asli sahaja.

"Saya akan terus memperjuangkan nasib masyarakat orang asli di Malaysia supaya keadilan dapat diberikan," katanya.