Ribut: Dua bangunan SMK Landas rosak, rugi RM400,000

Keadaan SMK Landas, Ajil yang rosak teruk pada bahagian bumbung akibat kejadian ribut kira-kira 3 petang tadi. - Foto: Bernama
Keadaan SMK Landas, Ajil yang rosak teruk pada bahagian bumbung akibat kejadian ribut kira-kira 3 petang tadi. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Dua bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas di Ajil di sini mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut pada kira-kira jam 3 petang tadi, dan jumlah kerugian dianggarkan RM400,000.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, kerosakan yang sangat teruk dikesan pada bangunan akademik tiga tingkat dan bengkel kemahiran hidup (bangunan setingkat) sekolah itu.

"Kerosakan di bangunan akademik melibatkan struktur atap, siling dan kekuda yang diterbangkan angin manakala kerosakan bengkel kemahiran hidup melibatkan keseluruhan atap.

"Jumlah kerosakan sebenar hanya akan diketahui selepas pemeriksaan terperinci dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab pagi esok," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sekolah itu mengalami kerosakan yang agak besar, pihaknya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan terhadap warga sekolah berkenaan.

"Saya dimaklumkan ribut ini berlaku dalam tempoh yang sangat singkat, hanya dalam tiga minit sahaja. Mujurlah semua pelajar telah pulang ke rumah pada waktu itu.

"Proses membaik pulih kerosakan bangunan itu akan dimulakan secepat mungkin dan sesi pembelajaran akan diteruskan seperti biasa di mana pelajar di kelas yang rosak akan belajar sementara di bangunan tingkatan enam yang kosong ketika ini," katanya.

Sekolah itu mempunyai 315 orang pelajar.

Artikel Berkaitan:

Shafruddin berkata, laporan awal mengenai kerosakan akibat ribut itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut. - Bernama