Malaysia-Vietnam perkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor

Dr Mahathir (empat, kiri) ketika sesi dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia melibatkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam pada lawatan rasmi ke Hanoi hari ini. -Foto BERNAMA
Dr Mahathir (empat, kiri) ketika sesi dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia melibatkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam pada lawatan rasmi ke Hanoi hari ini. -Foto BERNAMA
A
A
A

HANOI - Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dan meneroka peluang ekonomi baharu untuk mengurangkan ketidakseimbangan dagangan antara kedua-dua negara sahabat yang berjiran itu.

Dalam sidang akhbar bersama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Vietnam Nguyen Xuan Phuc berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, keselamatan, marin dan perikanan, pendidikan, tenaga kerja dan pelancongan.

Kedua-dua perdana menteri juga bersetuju untuk menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur, tenaga, pertanian berteknologi tinggi, akuakultur, pengangkutan dan logistik di samping memudahkan rangkaian perniagaan dalam mencari peluang baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Dr Mahathir dan Nguyen Xuan Phuc selepas mesyuarat delegasi di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk berganding bahu bersama ASEAN dan memanfaatkan blok ekonomi itu untuk memperkembangkan ekonomi dan menangani masalah di rantau ini serta di dunia khususnya.

"Kami memberi perhatian kepada penggalakan hubungan baik bukan sahaja dari segi diplomasi tetapi juga dari segi perdagangan dan pembangunan.

"Banyak yang boleh kami pelajari daripada satu sama lain. Perdana menteri (Vietnam) telah menghuraikan dengan terperinci perjanjian yang membawa kepada kerjasama lebih akrab antara kedua-dua negara. Saya menanti-nantikan untuk melaksanakan perjanjian yang telah kami capai menerusi perbincangan dan mesyuarat,” katanya.

Beliau berharap saiz dagangan akan terus berkembang untuk mengurangkan ketidakseimbangan dagangan antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Mengenai tuntutan bertindih antara kedua-dua negara, Dr Mahathir berkata pertikaian seharusnya diselesaikan dalam cara yang aman menerusi rundingan.

"Terdapat banyak bidang yang kami persetujui dan ada juga beberapa bidang yang kami tidak bersetuju atau berlaku sedikit pertikaian. Bagaimanapun semua ini boleh diselesaikan antara kita dalam suasana mesra,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau mengadakan perbincangan yang sangat berhasil bersama Nguyen Xuan Phuc semasa mesyuarat terhad dan mesyuarat delegasi hari ini.

Beliau turut mengundang rakan sejawatannya itu untuk melawat Malaysia bagi meneruskan perbincangan mengenai hubungan dua hala selain isu antarabangsa.

Sementara itu, Nguyen Xuan Phuc berkata beliau mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil bersama-sama Dr Mahathir dan berharap untuk membawa perkongsian strategik itu ke suatu tahap baharu serta memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh di masa depan.

Beliau berkata Vietnam dan Malaysia bersetuju untuk menggalakkan Petronas Oil dari Malaysia dan Gas and Petro Vietnam untuk memperluaskan kerjasama dalam penerokaan, pengeluaran dan pembekalan minyak serta gas.

"Kami juga harus menyediakan mekanisme yang sesuai bagi membolehkan nelayan kami melibatkan diri dalam perikanan yang berlandaskan undang-undang, selamat dan lestari, di samping bersama-sama mencari penyelesaian bagi memastikan pekerja Vietnam mempunyai kehidupan yang stabil serta pekerjaan dengan gaji yang baik," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dan Nguyen Xuan Phuc menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman membabitkan Pengawal Pantai Vietnam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antara Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Turus Am, Timbalan Menteri Pertahanan Negara Vietnam, Sen Lt Jen Phan Van Giang.

Kedua-dua perdana menteri turut menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Parlimen Malaysia dan Vietnam antara Saifuddin dan Menteri dan Ketua Pejabat Kerajaan Vietnam Mai Tien Dung. - Bernama