Tiga mangsa maut dikenal pasti

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas tersebut.Foto: Ihsan PDRM
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas tersebut.Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Polis sudah mengenal pasti semua mangsa kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban malam kelmarin.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Muhammad Idham Baharudin dan pemboncengnya, Anismalina Jamaludin, masing-masing berusia 20 tahun serta pemandu lori simen, V Ravendran, 26.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kemalangan pada jam 10 malam itu membabitkan empat kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y15, motosikal Honda EX5, treler membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) dan lori simen.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Idham dari Seremban ke Kajang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan.

"Seorang lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 telah berhenti di lokasi untuk membantu mangsa sebelum pemandu treler membawa LPG, lelaki berusia 38 tahun turut berhenti dengan niat sama," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, sebuah lori simen dipandu lelaki berusia 26 tahun telah melanggar bahagian belakang treler terlibat menyebabkan ia bergerak ke hadapan lalu merempuh semua mangsa.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan muatan LPG itu berterabur di atas jalan sehingga berlaku kesesakan sepanjang lima kilometer.

"Muhammad Idham, Anismalina dan Ravendran (pemandu lori simen) meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala penunggang motosikal dan pemandu treler LPG itu cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas empat kenderaan