Pahang Skills tapis semua tender, projek

Warga Pahang Skills berikrar bebas rasuah pada Pengukuhan Integriti dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pahang Skills 2019 di Dewan Utama Pahang Skills, di sini hari ini.
Warga Pahang Skills berikrar bebas rasuah pada Pengukuhan Integriti dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pahang Skills 2019 di Dewan Utama Pahang Skills, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pahang Skills akan menapis semua tender dan projek daripada mana-mana syarikat sama ada kerajaan ataupun swasta bagi memastikan pengurusan perolehannya bebas rasuah.

Pengerusinya, Datuk Mas’ut Awang Samah berkata, melalui peraturan baharu itu, setiap pengesahan terhadap tender dan projek akan dilakukan melalui pelbagai proses seperti disarankan kerajaan.

Katanya, pihaknya sudah mula menapis semua sebut harga tender sepertimana disarankan bagi memastikan pembekal, kontraktor dan perunding tidak menawarkan sebarang bentuk rasuah kepada pegawai dan kakitangan Pahang Skills.

“Jadi, semua pihak yang berurusan dengan Pahang Skills perlu membuat pengesahan sebagai garis panduan yang ditetapkan kerajaan bagi membolehkan mereka tidak terlibat dengan jenayah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pengukuhan Integriti dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pahang Skills 2019 di Dewan Utama Pahang Skills, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohamad Fauzi Husin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Suris Mihat.

Seramai 87 kakitangan dan 500 pelajar di Pahang Skills telah melafazkan ikrar bebas rasuah pada majlis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mas’ut, pihaknya akan mewujudkan satu slot kelas mengenai pengajian integriti bagi mengelak pelajar terlibat dengan aktiviti rasuah.

Jelasnya, kelas itu bagi memberi pendedahan dan pengukuhan kepada pelajar mengenai bahaya rasuah sebelum mereka menamatkan pengajian.

“Kalau boleh kita hendak pelajar keluaran Pahang Skills mempunyai integriti dan mampu membawa imej bersih kepada majikan atau organisasi mereka berkhidmat kelak.

“Justeru, penerapan di peringkat pengajian akan kita laksanakan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai,” katanya.