Aksi menentang Jordan ukur persediaan Skuad Harimau hadapi Indonesia

No Image Caption
A
A
A

AKSI pemanas badan menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini menjadi medan terbaik bagi mengukur persediaan skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi Indonesia pada aksi pembukaan kumpulan G pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan hadapan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, perlawanan persahabatan berkenaan menjadi medan terbaik untuk menguji mental dan taktikal skuad kebangsaan sebelum berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September ini.

“Kita tahu pasukan Jordan ini adalah satu pasukan baik, jadi kita hendak tengok sejauh mana mereka (pemain Harimau Malaya) mampu bersaing dengan Jordan. Saya ingat selepas aksi menentang Jordan, kita dapat menilai tahap (persediaan) pemain untuk menghadapi Indonesia,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff yang merupakan pengurus skuad bola sepak kebangsaan, menjelaskan kemenangan ke atas Indonesia di tempat lawan bakal menyuntik semangat pemain skuad Harimau Malaya untuk memburu keputusan sama apabila berdepan dengan Thailand dan Vietnam selepas ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah kesemua lawan dalam Kumpulan G termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan satu-satunya negara Asia Barat turut diundi bersama Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff memaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia telah mendapatkan kerjasama daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi menjamin keselamatan pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya sepanjang berada di Jakarta nanti.

Beliau turut mengingatkan pemain skuad Harimau Malaya untuk menjaga tingkah laku dan mengikut peraturan di Indonesia sepanjang berada di negara berkenaan.

Selepas aksi menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Artikel Berkaitan:

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 27 pemain untuk menjalani sesi latihan pusat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sejak Ahad lepas.

Untuk rekod, Malaysia tewas 0-3 pada aksi terakhir menentang Indonesia menerusi aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo, Indonesia pada 2016. - Bernama