Dua sekolah di Gelang Patah dinasihat terus tutup

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor Tan Chen Choon menunjukkan papan tanda "AMARAN- Dilarang Membuang Sampah" yang dipasang dalam Operasi Pembersihan khas Sampah Haram di Taman Legenda Putra, Kulai semalam. - Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua buah sekolah yang terletak berhampiran dengan kebakaran hutan di Gelang Patah dekat sini, dinasihatkan terus tutup sehingga keadaan pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon berkata sebelum ini, Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Adang telah diarah tutup selama dua hari sehingga hari ini.

“Dua buah sekolah itu diarah tutup (sebelum ini) sehingga keadaan menjadi pulih. Saya percaya Jabatan Pendidikan Negeri akan memberi penerangan seterusnya bila dua buah sekolah ini boleh dibuka semula,” katanya pada sidang media di Balai Raya Tanjung Adang, yang menjadi pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di sini, hari ini.

Berdasarkan tinjauan semalam, beliau berkata keadaan kebakaran dilihat masih kritikal.

Beliau juga berkata, ini berdasarkan titah Pemangku Raja Johor yang juga Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini, yang mahukan kedua-dua buah sekolah itu ditutup berikutan terletak berdekatan dengan kawasan kebakaran berkenaan, yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan pelajar, guru dan pegawai sekolah berkenaan.

Menurut Chen Choon, 70 peratus daripada 16 hektar hutan yang terbakar dapat dipadamkan, masuk hari ketujuh kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon 1 JBPM Johor Mohamad Faizul Selamat berkata teknik “banjir sepenuhnya” akan digunakan dengan fokus kepada baki 30 peratus kawasan yang masih terbakar.

Semburan langsung juga akan digunakan selain fire break (iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain) yang telah pun digunakan sepanjang tempoh operasi pemadaman kebakaran hutan itu.

“Dua hari lepas hujan hanya gerimis, macam hari ini ada hujan lebat, kalau hujan berterusan selama tiga jam dan seterusnya, boleh membantu dalam operasi pemadaman,” kata beliau.

Sehingga kini, 140 anggota dan 30 aset JBPM digunakan dalam operasi pemadaman selain dibantu agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor.

Terdahulu, Chen Choon mengiringi Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang melawat bilik operasi JBPM serta kawasan kejadian yang terletak bersebelahan SMK Tanjung Adang. - Bernama