JPJ keluarkan 418 notis kesalahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 418 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi bersepadu dijalankan di sini malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, operasi selama empat jam bermula 8 malam itu disertai 42 pegawai dan anggota agensi berkaitan.

“Sebanyak 956 kenderaan diperiksa sepanjang operasi malam ini dan 418 notis dikeluarkan antaranya 196 cukai jalan tamat tempoh, 112 tidak mempunyai lesen memandu dan 83 kesalahan cermin gelap.

“Dalam operasi ini juga kami turut menyita lapan kenderaan atas pelbagai kesalahan,” katanya selepas selesai operasi berkenaan di Plaza Tol Sentul Pasar di sini.

Menurutnya, pelbagai kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Ismail berkata, terdapat ramai pengguna jalan raya yang masih tidak memahami peraturan penggunaan cermin gelap yang dikuatkuasakan Mei lalu.

“Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam serta barangan, peratus ketelusan cahaya tidak boleh kurang daripada 70 peratus.

“Mana-mana individu boleh memohon menggunakan cermin lebih gelap dan setiap permohonan dikenakan bayaran RM5,000,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: