Audio rundingan tular: Enam NGO lapor polis

Enam wakil NGO membuat laporan polis berdasarkan portal berita dan menggesa PDRM membuat siasatan segera berhubung audio tular yang dikaitkan dengan kes membabitkan Abdul Yunus.
Enam wakil NGO membuat laporan polis berdasarkan portal berita dan menggesa PDRM membuat siasatan segera berhubung audio tular yang dikaitkan dengan kes membabitkan Abdul Yunus.
A
A
A

IPOH - Enam badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat rakaman audio tular seorang pembantu Exco kerajaan negeri yang dikatakan cuba berunding dengan pihak berkuasa berkait dakwaan kes rasuah dihadapi seorang Exco berkenaan.

Setiausaha Pertubuhan Rangkaian Organisasi 98 Reformis Perak, Sazali Samsudin berkata, laporan itu dibuat berdasarkan penafian dibuat Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari berhubung cubaan berunding dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui satu portal berita disiarkan pada 15 Ogos lalu.

"Isu ini menjejaskan kewibawaan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM yang dikaitkan dalam audio yang tular secara meluas kepada orang ramai sekali gus memberi persepsi buruk.

"Sekiranya PDRM tidak menyiasat kebenaran perbualan pembantu Exco berkenaan yang cuba berunding dengan pegawai polis dan SPRM untuk menyelesaikan kes itu, ketelusan kedua-dua agensi berkuasa itu akan terus dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Sazali (tengah) mewakili PRO 98 Reformis Perak membuat laporan polis mengesa siasatan audio yang dikaitkan dengan Abdul Yunus.
Sazali (tengah) mewakili PRO 98 Reformis Perak membuat laporan polis mengesa siasatan audio yang dikaitkan dengan Abdul Yunus.

Hadir sama, wakil NGO dari Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Pertubuhan Prihatin Rakyat Perak, Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih Taiping, Pertubuhan Ikatan Komuniti Daerah Larut, Matang dan Selama serta Persatuan Integrasi dan Kebajikan Kinta Perak.

Menurutnya, isu tersebut turut memberi persepsi buruk terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

"Ini berlawanan dengan prinsip kerajaan yang memperjuangkan integriti dan ketelusan dalam pentadbirannya. Kita minta PDRM memanggil pembantu tersebut bagi mengesahkan suara audio tersebut milik beliau atau sebaliknya.

"Laporan ini juga dibuat supaya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu segera merehatkan Exco terbabit daripada menjalankan tugas supaya tidak mengganggu siasatan PDRM dan SPRM," katanya.

Pada 13 Julai lalu, satu laporan polis dibuat terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri kerana didakwa telah membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mendapatkan habuan daripada dua syarikat.