Pasangan warga emas didakwa tipu cek berjumlah RM126,000

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tiga pertuduhan melakukan penipuan cek melibatkan jumlah RM126,000, lapan tahun lalu.

Tertuduh R Munandy, 65, dan isterinya S Kanagarani, 61, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Madihah Harullah.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu didakwa menipu S Letchumanan, 72, dengan memberinya tiga keping cek berjumlah RM21,000, RM31,500 dan RM73,500 bagi melakukan pembayaran balik hutang.

Bagaimanapun, cek berkenaan tidak dapat ditunaikan selepas disekat pihak bank kerana akaun tertuduh tidak mempunyai wang.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Kaya, Jalan Labu di sini kira-kira 12 tengah hari pada 30 November 2011.

Bagi kesalahan itu, pasangan warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: